Sudut Renungan


Kisah Berkaitan Tentang ‘Amanah’

Bismillahirrahmaanirrahiim.
Assalamu’alaikum kawan-kawan…
Amanah!
Tentang amanah. Cerita yang biasa-biasa. Namun natijahnya luar biasa! Di akhir cerita, moga anda faham.
Maka, bacalah…
Kisah Tentang Seseorang dan Amanah!
Diriwayatkan bahawa seorang lelaki yang telah menuju ke Baitullah al-Haram ( Kaabah ) untuk menunaikan haji. Setelah tiba di Kota Makkah, dia lalu menyimpan wang sebanyak 1000 dinar kepada seorang yang jujur dan berakhlak baik. Kemudian, orang kaya itu menuju ke Arafah untuk berwuquf di sana.
Setelah selesai wuquf dan amalan hajinya yang lain, dia kembali ke Makkah dan mendatangi rumah yang dititipkan wangnya itu, maka didapatinya orang itu sudah meninggal dunia. Orang kaya tersebut lalu bertanya hal itu kepada keluarganya tentang wang yang disimpan pada orang itu dan keluarganya menjawab, “Kami tidak tahu pun tentang simpanan itu.”
Akhirnya orang kaya itu bertanya kepada seorang ulama’ di Makkah dengan memberiahu tentang keadaannya dan wangnya yang disimpan kepada orang yang jujur itu. Ulama’ itu menjawab, “Nanti pada tengah malam, pergilah engkau ke perigi ZamZam, dan lihat ke dalamnya. Kemudian panggillah nama si fulan itu. Jika dia termasuk dalam penghuni syurga, maka dia akan menjawab panggilanmu.”
Maka orang kaya itu pergilah menuju ke perigi Zamzam pada waktu malam, lalu memanggil nama orang itu. Sekali dan dua kali, dan seterusnya. Namun tidak ada yang menjawab panggilan itu.
Pada keesokan harinya, orang kaya itu menemui sekali lagi ulama’ Makkah serta menceritakan apa yang telah berlaku pada malam tadi. Mendengar khabar itu, ulama’ itu terus mengucapkan kalimah istirja’ ( Inna lillahi wa inna ilaihi roji’un ). “Aku khuatir bahawa temanmu itu, jangan-jangan dia tidak termasuk penghuni syurga. Sekarang cuba kamu pergi ke Yaman, di sana ada satu pergi Barhut namanya, yang pernah dikatakan orang bahawa perigi itu adalah mulut neraka Jahannam. Lalu datanglah pada malam hari. Serta panggillah nama si Fulan itu. Jika dia termasu,k penghuni neraka, maka dia akan menjawab panggilanmu itu. Dan tanyakanlah kepadanya tentang di mana wangmu itu?”
Maka pergilah orang kaya itu menuju ke Yaman. Lalu bertanya tentang tempat beradanya perigi Barhut itu. Akhirnya dia ditunjukkan orang tempat itu. Pada malam harinya, dia datang ke perigi Barhut itu, lalu memanggil nama orang yang pernah menerima barang simpanannya itu. Maka dengan serta merta orang itu menjawab. Orang kaya itu bertanya,
“Dimanakah engkau simpankan wang yang pernah aku titipkan itu?”
Orang itu menjawab, “Aku telah menyimpannya di suatu tempat di rumahku. Dan aku tidak percaya kepada sesiapa pun. Sekalipun anakku sendiri. Sekarang pergilah engkau ke tempat ( ini dan itu ), dan galilah di situ. nescaya engkau akan menemui wang dinarmu itu.”
Kemudian orang kaya itu bertanya, “Apakah yang menyebabkan engkau berada di sini, sedangkan engkau orang baik, dan kami semua bersangka baik terhadapmu?”
Maka orang itu menjawab, “Aku mempunyai seorang saudara perempuan yang miskin, dan aku tidak mempedulikannya dan bertanyakan hal keadaannya serta tidak merasa kasihan kepadanya. Maka, kerana itulah ALLAh telah menyeksaku di sini dan menempatkan ku di neraka jahannam.”
TAMAT.
Setiap hari. Setiap saat. Kita masing-masing memikul amanah. Moga ALLAh mengampuni diri kita kerana kelemahan yang ada pada diri.
Teringat teka teki Imam al-Ghazali, “Apa yang paling berat di dunia ini?” Maka jawapannya,
Memikul Amanah!
Astaghfirullahal’adzim!
Semoga ALLAh merahmati.